05 Ogos 2011

Imbas Cerita Dulu-Dulu: coretan buat yang telah bersemadi

Gambar ini diambil ketika hari raya pada tahun 1995 kalau tak silap la. Kalau nengok orang tua yang duduk kat atas kerusi sebelah aku tu, rasa nak tegur pun pikir 2 kali. Nampak cam garang. Itulah arwah tokki aku...namanya Muda bin Muhammad. di Kg. Paloh, Manir, Duyong mahupun di Dungun dan juga di K.berang dia lebih dikenali dengan nama 'Cik Muda tukang rumah'. ada juga dikalangan anak-anak buahnya menggelarkannya 'Ayah Da'. aku hanya sempat bersamanya selama 20 tahun. tapi 20 tahun itu bukan sempat utk aku mendekati dirinya. kerana aku tinggal bersama keluargaku di Bukit Besi. 'Ayah Da' dah berumur.... tapi masih berdaya melayan kerenah anak cucunya. Ini lah satu-satunya gambar aku bersama arwah, sebab dia tak suka bergambar. ni pun aku paksa dia. sebab sayangkan cucu, terpaksa ikut cakap aku. hehe..


Di kg. paloh, jam menunjukkan pukul 9.00 malam. keadaannya seperti tengah malam. bunyi unggas dalam semak sebelah rumah. maklumlah, rumah kampung. keliling rumahnya hutan kecil tapi masih ada rumah penduduk kampung sekitar itu. malam gelap membuatkan rasa mengantuk awal, diiringi angin malam. di atas 'lambur' luar rumah, aku duduk termenung ditemani ibuku dan che ngah (mak saudaraku). Masa tu berusia 6 tahun, 'Ayah Da' berusia dlm lingkungan 80 an (aku tak pasti), aku melihatnya mengajar silat kepada sepupu aku iaitu anak kepada mak long aku. senang cakap cucu sulong dia la. sepupu aku dah mula bermain silat sambil diperhatikan oleh 'Ayah Da' dari atas tangga. 2 beradik sepupu aku bermain sesama mereka. 'Ayah Da' memandang aku, "awang, mu tak mboh belajor silat ke?" tanya dia sambil aku memandang ibuku. aku diam jer. che ngah membalas, "abang, gi la tokki nok ajor mu silat tuh". aku mintak izin dengan ibuku. masa tu masih budak-budak. aku tak tahu apa-apa. 'Ayah Da' turun tangga sambil memimpin aku. aku tercegat kat tepi gelanggang sambil perhatikan sepupu aku. aku ikut jer apa yang mereka buat. walaupun nampak sumbang, maklumlah, tak pernah bersilat. tak tahu apa itu silat. hampir sejam, ibuku panggil ajak naik untuk tidur. cam biasa la, ibuku la jadi mangsa untuk teman aku ke bilik air. rumah kampung, bilik air kat luar. gelap nak gi sorang diri. jam tunjuk pukul 10 lebih. aku pun masuk ke dalam rumah tengok TV. masa tu kat rumah che ngah aku TV lama. nak cari siaran kena pulas butang dia. kalau dapat siaran nasib baik. kalau tak dapat tidur awal la.




aku tunggu tokki masuk dalam rumah sebab aku selalu tidur bersamanya dalam bilik. tiada nampak gelibat bayangan tokki. entah ke mana dia pergi. aku menjenguk kat luar, dia masih di tangga. dalam gelap dia berseorangan sambil mengisi tembakau dan menggulung rokok daun. dinyalakan mancis, kemerah-merahan api dan berkepul asap keluar. tokki memang kuat merokok. perokok tegar.. tapi aku hairan, tak pernah dia batuk ke, sakit apa-apa. sihat sokmo kata org terengganu. aku mendekati tokki, "tokki, dah malam ni. jom masuk tidur." dia membalas, "dak per ah, awang nok tidur gi ar tidur dulu. kekgi tokki masuk ar." dia mmg bahasakan aku dan cucu-cucu lain dengan panggilan 'awang'. 2 orang sepupu aku keluar jugak duduk kat tangga. masa tu kami berempat. tokki memulakan ceritanya macam mana nak jadi pandai bersilat. aku ternganga sebab baru 1st time belajar. baru belajar tapak dan 'menyurong'. buah belum belajar lagi. dah takleh tahan dah, mata mengantuk. aku masuk tidur dgn che ngah. tokki masih diluar.




Begitulah rutin tokki aku setiap malam sepanjang cuti sekolah apabila anak cucu pulang ke kampung. Ketika tu aku tidaklah berapa mengetahui tentang diri sebenar siapa tokki aku yang lebih dikenali dengan 'Ayah Da'. Aku pernah bertanya dengan ibuku tentang tokki, tapi ibu semacam menyembunyikan sesuatu daripada aku. Mungkin aku terlalu mentah lagi untuk mengetahui perkara yang lebih mendalam dan merumitkan. Saban malam boleh dikatakan ada sahaja orang yang datang ke rumah tokki. Sampaikan pukul 3 hingga 4 pagi mereka berborak. Terlintas di fikiran kecil aku, apa agaknya yang tokki ceritakan pada mereka. Seperti tiada hari siang untuk diceritakan. Ibuku terdiam sambil tersenyum mendengar rintihan kecil ku.


Masa makin cepat berlalu. aku makin membesar. Bersekolah di sekolah kebangsaan bukit besi. ketika itu aku darjah 3, sesi persekolahan waktu petang amat membosankan. waktu itu sudah ramai kawan-kawan aku yang mengikuti kelas tuisyen. Tetapi ada juga kawan aku yang mengikuti latihan di gelanggang silat. Gelanggang itu terletak 4km dari rumah aku. Aku pernah luahkan hasrat hati aku untuk belajar Perguruan Silat Tok Perpat Panglima Hitam pada ayahku tetapi aku tidak membenarkan. Tiada orang yang hendak menghantar dan mengambil aku. hatiku mengeluh hampa. maklum lah, ketika itu waktu kerja ayahku tidak menentu. kadang-kadang kerjanya siang. adakalanya giliran malam. Tapi ayah tidak menghampakan hajat aku. Biarlah tidak dapat bergelanggang, cukupla dia bawa aku melihat orang bersilat seminggu sekali. Terpaksalah aku belajar sikit dengan tokki apabila tiba musim cuti sekolah. Aku bukanlah dapat secara rasmi dengan tokki. aku tak sempat merasa air tangan dia sepenuhnya.


Aku memasuki ke alam sekolah menengah. Menuntut di sekolah menengah kebangsaan pulau serai, dungun. Ketika itu ayah bertukar tempat kerja. terpaksalah aku mengikutnya pindah ke dungun dan menetap di Kg.Seberang Pintasan. Di sekolah aku ada aktiviti persatuan silat. Seingat aku mereka aliran Pertubuhan Silat seni Pusaka Gayong Malaysia (PSSGM). Oleh kerana sudah lama aku tidak bersilat dan jiwa aku tak pernah merasai apa itu silat dalam erti kata sebenarnya. Ketika itu Persatuan Taekwondo WTF baru ditubuhkan disekolah. aku bersama sepupu aku mendaftarkan diri. Setiap minggu berlatih di sekolah pada hari jumaat waktu petang. Pada mulanya ayahku enggan membenarkan aku menyertai seni beladiri itu sebab aku tiada kenderaan nak pergi berlatih. hari minggu mana ada bas sekolah. hanya ada satu pilihan, aku terpaksa berbasikal sejauh lebih kurang 5km mendaki 2 bukit. Oleh kerana semangat nak belajar, aku gagahkan diri. saban minggu aku berlatih. kerajinan aku itu sempat la aku memegang Yellow Belt. apabila sudah ada sedikit keyakinan dan keberanian, aku mula jadi sedikit agresif. tapi tiada lah pernah bertumbuk dengan kawan-kawan. Ayah membantah hasrat aku untuk terus belajar teakwondo. Katanya, "mulai minggu ni, mu tak payah pergi teakwondo lagi. belajar apa seni beladiri orang penjajah. silat kita ada. belajar silat sudah!!!" hatiku remuk bila ayah berkata begitu. Ketika itu jiwa aku dah hampir sebati dengan teakwondo. Ayah tahu aku merajuk tapi ayah memang pandai memujuk. Katanya lagi, "Belajar dengan ayah sudah". aku tercengang. Ayah pandai silat ke? aku tak pernah tengok dan tak pernah tahu yang ayah pandai bersilat. dia pun tak pernah bercerita pada aku. Timbul rasa ingin tahu apa yang ayah ada sebenarnya. setelah dia tunjuk beberapa buah, aku dah mula boleh tangkap dan ingat. aku mulai perasan yang cara ayah main memang lembut. tak seperti teakwondo. gerak bunga tari dan buahnya buat saya terpegun. Ayah bertanya, "Taekwondo ada gerak camni tak?" Aku menggeleng-gelengkan kepala sambil diperhatikan oleh ibuku yang tersenyum di ruang tamu rumah.


Hampir 2 jam aku berlengan dengan ayah di tengah ruang tamu. kelihatan ayah kepenatan. malam itu aku mempelajari sesuatu yang baru. Aku dan ayah terduduk diruang tamu sambil dihidangkan teh dan keropok goreng oleh ibu. Ayah menjadi penglipu lara pada malam itu. Menurut ayah, itu dinamakan gerak Minangkabau. Gerak langkah seperti orang tu bongkok yang keadaan berjaga-jaga, dijaganya rusuk kiri dan rusuk kanan. Ayah menyambung ceritanya,"ayah dapat dari arwah ayah wee. suami tok wee yang dulu. bersilat kat dalam rumah je dulu. atas lantai kayu tu sampai licin." Patutla dia ajar aku pun dalam rumah. aku ajak turun ke bawah dia tak nak. Ceritanya lagi, "selain tu, ada jugak lagi aku belajar silat dekat bukit belah tu. aku belajar dengan ayah Muda Pulut. arwah ayah dia orang panggil Tokki". "tokki jugak", rintih hati kecilku. Kami berborak sampai pukul 1 pagi. Selama ini aku tidak pernah tahu yang ayah aku juga tidak kurang hebatnya. Dia pun ada jugak belajar dgn 'Ayah Da'. Dalam seusia aku itu 15 tahun, aku menyimpan semua ilmu yang ayah perturunkan pada aku. Kiranya aku sudah ada kembali asas silat, tapak, gerak dan buah.


Kini....arwah tokki dah 6 tahun kembali ke rahmatullah. pejam celik pejam celik sekejap sahaja masa berlalu dengan cepat. tapi bagi aku, tokki sentiasa hidup dalam jiwa aku. tokki tak mati, cuma tokki berpindah ke alam barzakh. tokki tahu yang aku amat merinduinya... al-fatihah buat arwah tokki Muda bin Mohammad dan arwah mak tua Khadijah binti Md.Amin... Buat mak tua, cucu sentiasa mengingati mak tua, mak tua pergi dahulu sebelum cucu ni lahir ke dunia tapi Allah itu Maha Agung, tiada musthil baginya dan atas kehendaknya kita pernah bersua juga.

Wallahu`alam...